Jalan - Jalan ke Tokyo Disneyland

Jalan - Jalan ke Tokyo Disneyland

Bulan Februari baru ni kami berjalan-jalan ke Tokyo Jepun, salah satu destinasi yang kami kunjungi adalah semestinya Tokyo Disneyland. Tokyo Disneyland adalah Disneyland yang agak popular selepas Disneyland Paris. 

Disebabkan masa pergi Tokyo tu bulan Februari dan dalam musim sejuk, maka kami tak stay sehingga waktu malam kerana dek kesejukkan. Serius gais, masa main salji tak sesejuk di Disneyland sini. Mungkin disebabkan Disneyland ni terletak sebelah laut, maka banyak angin sejuk yang lalu.

Untuk ke Disneyland Tokyo ni ada 3 cara iaitu paling mudah dengan menaiki train. Bermula di Tokyo Station, naik Keiko Line dan turun di Maihama Station. Hanya mengambil masa lebih kurang 25minit sahaja dari Tokyo Station.

Kedua menaiki shuttle bus jika korang beli tiket dengan Klook dan amik bus shuttle sekali. Tapi kebanyakkan bas tidak pick-up pada semua hotel, biasanya dia pergi ke hotel 5 bintang sahaja. Kesian kesian kesian...

Ketiga adalah cara yang paling mahal iaitu menaiki kereta atau teksi. Kalau nak pandu kereta boleh saja tapi korang ikutlah jalan google maps dan bayar parking sekiatr sejam RM30 yer. RM30 per hour. Teksi pula kalau dari Tokyo Station dalam sekitar harga RM70 per trip. 


Benda pertama yang korang ke ada sebelum masuk ke Disneyland pastinya adalah tiket. Setakat blog ini ditulis, hari Jumaat, Sabtu dan Ahad boleh mencecah JPY9600, kalau hari weekdays berharga JPY8400 untuk seorang dewasa. Kalau ada public holiday mungkin akan lagi mahal atau beli last minute pun akan jadi mahal.

Saya membeli tiket guna Klook untuk penjimatan yang lebih setelah tolak coins dan point. Jadi tiket saya seorang dewasa jatuh pada harga RM265.00 seorang sedangkan harga pada website RM290.00. Manakala kanak-kanak bawah 12tahun berharga RM240.00. Agak mahal juga bro tapi apakan daya, bukan Disneyland ni ada belakang rumah idak gitu...?


Terkini, Disneyland tidak lagi mencetak tiket di kaunter, dan juga tiada lagi peta diberikan disebabkan penjimatan dan penularan virus. Maka, Disneyland Tokyo hanya scan barcode tiket korang dalam email dan korang perlu download Disneyland Tokyo Apps untuk merujuk peta Disneyland serta aktivti-aktiviti yang berlangsung pada hari korang lawat tu. Dalam apps tu juga akan tunjuk berapa lama waiting time untuk setiap satu ride.


Dah scan barcode, ucapan "Welcome to Disneyland" disambut oleh pekerja dorang. Lepas tu akan ada security check yang akan check setiap satu beg korang. Saya ada membawa makanan seperti nasi goreng dan sandwich, dorang nampak pack makanan dan saya declare sebagai food allergic. Dorang lepaskan dan boleh dibawa masuk. Sebenarnya makanan dan minuman boleh saja nak bawa masuk cuma bukan kuantiti yang banyak. 

Memang meriah lagi pada pintu masuk, tapi korang jangan terkejut, this is Tokyo - manusia ramai dimana-mana sahaja. Saya tak sempat amik gambar masa beratur. Nampak ramai tapi masa queue untuk masuk tu kejap aje, dalam 10minit sahaja. 






Permulaan lawatan tu korang akan lalu World Bazaar. Dalam ni ada banyak kedai merchandise, restoran, coffee house dan butik pakaian versi Disneyland. Disebabkan ada bawa sandwich, kita kasi sarap dulu, perut kena kasi mantap pasal nak marathon dalam ni sampai petangkan.

Kami lepak kat salah sebuah cafe dalam World Bazaar ni, beli hot coffee, fries dengan hot chocolate. Lepak outdoor kononnya nak amik view Disneyland Palace nun jauh ditengah-tengah. Skali angin badai lalu fuhhh sejuk bang... Terus kena sarung glove nak bagi hangat tangan. Kat sini agak berangin pada Disneyland berada ditepi laut Haneda saja.



Sebenarnya, best juga masuk Disneyland ni. Pasal ada banyak penceritaan sejarah mengenai Walt Disney yang korang boleh layan selain anak-anak korang tu duk enjoy dengan theme park. Sebagai abah yang berwawasan, saya gemar berhenti untuk baca plat sejarah yang dorang buat contohnya tujuan Walt Disney buat Disneyland, bagaimana impian dia direalisasikan, 

Di setiap theme-park tu dorang akan cerita sejarah watak-watak Disney diciptakan dan pada waktu bila Disney ni mula buat cartoon mengenai watak mereka cipta. Nak tahu kat mana plat history dorang ni? Biasanya dorang ukirkan watak-watak Disney dorang dalam bentuk cooper, kat bawah kaki mereka tu akan ada pengceritaan mengenai sedikit sebanyak sejarahnya.



Settle sarap, benda pertama yang kami layan adalah Star Wars Galaxy di Tomorrowland. Pasal abam yang bayar tiket, jadi dorang ni semua kena paksa follow tema abam! Tengok dalam apps pun waiting time 15minit saja. Jadi ayuh beratur layan 6D Ride Star Wars Galaxy. 

Ride ni pertama kali kami naik, best juga pasal jalan ceritanya korang kena naik spaceship yang dibawak oleh C3PO untuk keluar pergi ke planet apa tah. Bersama-sama korang ada smuggler wanted oleh First Order. Jadi sepanjang perjalanan korang tu kena kejar tapi di-cover oleh The Resistant. Ride  6D ni korang akan masuk ke peperangan galaxy serta terhempas di destinasi. Best bro... macam nak repeat plak pasal dia macam kena dengan timeline movie Star Wars tu.





Kat Tomorrowland juga ada Buzz Light Year Star Blaster, Space Mountain dengan Monster Inc Company Store. Ketiga-tiga ni waiting time dia 40minit bang... boleh kena slip-disk geng kalau nak menunggu setiap satu ni.



Jadi kami meneruskan perjalanan ke Toon Town yang pekan ala-ala comel aje. Toon Town ni cantik jugak kalau orang nak ootd. Dia bina kawasan ini seperti bandar Mickey Mouse & Friends tu. Jadi dalam ni juga complete ada sekolah, post office, restoran, rumah Mickey & Minnie, pastu rumah Donald Duck & Daisy. 

Baca review saya ke Disneyland HongKong

Walau kearah budak-budak, tapi suasana dia comel dan sedikit santai. Mungkin tak ramai nak lepak sini pasal tak ada ride. Cuma hanya ada perkampungan Mickey dan disini juga watak Mickey akan muncul. Kena refer Disneyland Apps pukul berapa dorang muncul untuk sesi photoshoot. Dalam Town Toon juga ada bus shuttle yang korang boleh naik nak pusing sini. Punya besar dorang buat kaaaaann.







Ahaa, setiap themepark ni, memang dorang sediakan merchandise store, restoran, toilet dengan tempat duduk untuk berehat. Jadi setiap tempat akan ada tema kedai yang berbeza-beza. Kalau korang nak beli key-chain, baju, buku contohnya, maka kat theme-park tu saja yang ada. Jadi jangan sia-siakan peluang. Beli semua, apa ada hal swipe dulu balik baru termenung!



Senak perut jugak duk berjalan dalam Toon Town, maka kami terus ke themepark seterusnya iaitu Fantasyland. Kat sini tempat utama Disneyland. Mungkin gegurl suka tempat ni pasal dia banyak kearah princess town macam kartun Cinderella, Beauty & The Beast dengan The Tangled. Kat sini juga ada Disneyland Palace yang besar ditengah-tengah tu. Sekitar kawasan ni seolah macam korang duduk kat bandar dah. Luas, besar dan macam-macam permainan yang ada.


Sebelum ke palace tu, dorang pergi layan dulu Small World yang naik boat dalam bangunan. Dulu pernah layan masa di Dineyland HongKong. Pasal waiting time tak lama, maka layankan saja dulu sebelum nak layan palace. 

Masa dorang layan Small World tu, abam tengok sekitar kawasan ni memang best. Memang dorang jaga rapi betul termasuk landscaping. Dah berumur ni banyak ler kita nak tengok benda-benda nature kan... Walau musim sejuk, dorang masih tanam bunga hidup mengikut color themepark tu untuk memberikan suasana yang segar. Jangan la pulak korang petik, susah dorang nak tanam dengan nak siram pokok bunga tu ye.



Dah settle dorang keluar tu, kami layan satu lagi ride kuda pusing macam carousel. Benda macam ni abam layan laa jugak. Jangan dia pusing laju-laju udah... karang keluar balik sandwich pagi tadi. Waiting time pun tak lawa, cukup untuk pusing sambil dapat tengok view.



Waktu pun dan masuk tengahhari, perut sedikit lapar tapi kena bertahan dulu untuk layan Disney Palace. Sekitar kawasan palace ni pun dah menarik, dorang bina bandar macam bandar lama yang kita tengok dalam kartun dorang tu. Siap ada petugas yang pakai baju zaman dulu dengan buat kerja macam bercucuk tanam bagai. Perkampungan dengan bandar ni mengelilingi  Disneyland Palace tu. 




Bila dah sampai entrance gate, naaaahhh tu dia... Orang beratur panjang nok harem! Aduhai. Time ni saya tak buka apps pun, tapi orang beratur tu dah sampai pada garisan waiting time 90 minit kauuu... Fuhhh sejam 30 minit bro nak masuk... Hadehhh spoil mood betul laaa Disneyland Tokyo ni. Kau datang ramai-ramai buat apa. Ni bukan hari weekend, hari kerja wey... Korang ni tak sekolah tak gi kerja ke...? Tanya dalam hati... pasal tak puas hati bro!

Discuss dengan wife, kita layan amik gambar saja laa kat sini. Malas laa nak beratur lama-lama, perut pun macam tak bagi kerjasama pun bila sejuk-sejuk ni. Kerap sangat laparnya. Sebelum kami keluar dari Fantasyland themepark ni, kita masuk dulu merchandise store dia. Abam beli laa dulu benda limited edition yang tak ada kat luar ni. Harga keras mat tapi bukan hari-hari masuk sini kannn.


Lupa nak bagitau, apps Disneyland ni memang smart habis. Tadikan saya bagitau dalam apps dia akan ada daily activity contohnya waktu bila parade, waktu bila show dan waktu bila character meeting. Jadi masa sarap tadi saya tetapkan 2 event iaitu, Mickey Mouse Clubhouse Show dengan Disney Parade. 

Jadi bila kita set reminder, apps tu bagi notification bahawa event akan bermula dalam masa 15minit lagi. Jadi kami terpaksa skip lunch dulu dan terus menuju ke Tomorrowland Hall. Mickey Mouse Clubhouse Show ni dibuat kat situ. Kena beratur dulu tapi ada saja tempat duduk. Banyak seat lagi. 


Sementara menunggu tu, kami makan laa dulu lebihan roti sandwich. Boleh bawa masuk makanan dalam ni sambil layan show. Cuma nak makan nasik tu susahkan, tak ada meja. Setakat makan fries, nuget pop-corn boleh ler. Jangan engkau bukak lauk mangkuk tingkat udah... semua pandang bau sambal nanti yerrr.

Show ni mengambil masa lebih kurang 20minit. Dorang lebih kepada nyanyian dan berjoget sebijik macam Mickey Mouse Clubhouse Show yang Nazril tengok tu dulu. Ada banyak watak muncul dan setiap satunya ada tarian yang berbeza. Agak enjoy juga laa tengok show depan mata sendiri. Pengunjung orang Jepun siap layan menari jugak dan macam konsert.  




Skang ni tak leh sembang banyak, perut memang dah lapar habis. Memang tak layan dah ride ke apa ke. Jadi kami terus menuju ke Westernland. Kenapa nak kena pergi sana? Pasal masa tengok show tu, saya sempat tengok maps dalam apps ni, ada banyak tempat duduk untuk korang lepak santai. 

Jadi kami terus kesana dan ternyata sangkaan kami tepat. Ada saja tempat duduk port baik punya siap ada sungai lagi. Terus bukak nasi goreng dan makan. Masa ni alangkah indahnya nasi goreng kosong dengan telur rebus. Walau nasi dah rasa sejuk, tapi disebabkan lapar memang rasa dia terbaik. 



Okay, sebenarnya dalam Disneyland ni ada sebuah restoran halal yang korang boleh makan kalau tak nak bawa bekal. Restoran tu adalah EastSide Cafe, ini pun hanya menu seafood sahaja yang di-iktiraf halal. Lain-lain menu adalah non-halal. Selain tu juga boleh beli seafood pizza di gerai Pan Galatic. Korang boleh rujuk restoran halal dalam Disneyland kat sini. 

Cumanya dalam group facebook mengatakan, nak masuk ke restoran ni punya laa ramai. Bukan korang saja yang muslim. Pastu dengan orang lain lagi nak makan. Jadi pilihan kami benar, bawa saja bekalan nasi goreng kompak layan share-share buat alas perut. Bukan nak makan sampai kenyang pun. 

Masa makan pun, saya sempat beli satu waffle kepala mickey dengan air chocolate panas untuk energy. Waffle Mickey ni harga dia RM33 seketul... uhukk uhuukkk uhukk... Boleh laa buat dessert, nak makan aiskrim bapak sejuk giler time ni. Cuaca pun macam mendung tapi tak hujan. Menjadikan suhu mula menurun secara mendadak. 

Baca perjalanan kami ke Tokyo Jepun selama 7 hari disini

Makan cepat-cepat pasal dah tak tahan sejuk, maka kami jalan menuju ke Mark Twain Riverboat. Dari jauh lagi dah nampak sebuah kapal besar duk lalu kat sungai dorang ni. Besar bro kapal dorang ni. Sementara menunggu giliran korang naik bot, di jeti ni dorang buat sejarah mengenai sapa Mark Twain dan apakah kerjanya sampai ada sebuah kapal besar macam ni. The Adventure of Tom Sawyer!

Kawasan Adventureland ni nest juga pasal suasana dia dah mula kearah barat dan bukan lagi kawasan fantasy. Keseluruhan themepark sini bertemakan pekan koboi dan dipenuhi dengan dekorasi ala western American. Jadi banyak kedai dan bangunan dibuat daripada pokok kayu Pines.




Nak hilang sejuk, saya beli lagi coffee untuk sulam makan tengahhari tadi. Baru laa rasa hilang sikit sejuk kat tangan ni. Nyambil minum nyambil layan cruise kapal sekitar 20minit. Best pasal korang boleh nampak Adventure themepark dengan beberapa themepark yang lain. 




Acara yang terakhir kami adalah menaiki train di Adventure Park. Masa nak ke sana, cuaca mula gerimis. Train masih berfungsi cuma tak best laa pasal gerimis. Jadi kami masuk store dulu untuk berteduh dengan layan cuci mata dalam ni.

Ini pun salah satu tips, kalau korang rasa sejuk beku, korang boleh masuk store untuk panaskan badan. Dalam ni dorang pasang heater bro... selesa habis laaa bila masuk store. Acah-acah tengok baju, try-try baju pastu bergambar. Kesemua store dorang ni ada heater dan dorang tak pernah marah korang kalau setakat nak bergambar dengan baju, karater pameran mahupun lepak kat tandas lama-lama. Iyerrrr tandas dorang pun selesa bhai... dah macam sauna genggg!

Suasana masih gerimis, kami buat keputusan tetap layan kan saja train tu memandangkan beratur dia pun tak lama pastu tak kena dek gerimis. Masih dalam bangunan. Jadi bila train sampai, loan out dengan load in smooth sahaja. 

Perjalanan train ini mengambil masa lebih kurang 15minit saja, tapi laluan dia memang aweseome. Train ni bukan jenis roller coaster akan tetapi train jenis santai-santai yang lain naik bukit, tasik, sungai dengan part of adventure. Enjoy jugak laa ride train dia.




Dalam masa tu jugak, sekali lagi Apps kasi reminder, bahawa Disney Parade akan bermula dalam masa 15minit lagi. Jadi pada laluan parade tu dah ada ramai orang dan beberapa jalan mula tutup kecuali kalau korang nak melintas dia bagi jalan.

So kami dapat slot tak jauh dari laluan parade. Cumanya, tempat duduk ni kiranya jalan kaki. Jadi kalau tak bawa alas, korang pandai-pandai laa duduk yer kalau tak nak seluar kotor. Tak boleh berdiri nanti staff dia suruh korang duduk jugak.

Parade berlangsung lebih kurang 30minit dengan beberapa kereta berhias mengikut karater kartun sendiri. Ada juga beberapa akrobat yang buat show sepanjang perjalanan parade tu. Tak banyak gambar saya ambil masa parade pasal saya banyak ambil video untuk insta story. 





Nanti follow ig saya @nazrulakram untuk tengok balik story kami di Tokyo

Selesai parade, kami terus jalan kaki balik ke World Bazaar. Kita kasi cuci mata dulu apa yang boleh beli untuk dibawa pulang walau harga keras. Rata-rata jacket berharga RM300 keatas, t-shirt pula RM150 ke RM250 mengalahkan shirt Hard Rock. Ada juga jual mug tapi harga dia RM100 keatas. 

Dalam Disneyland ni tiada Starbucks. Saya cuba juga cari Starbucks kot-kot ada edisi mug dari Tokyo Disneyland ke... ternyata tak ada, yang hanya ada Japan Edition. Patutnya Starbucks buat laa jugak macam Paris Disneyland Edition. Barulah rare dan boleh buat duit! Benda boleh buat collection kenapa tak jual...... haduihh!





Masa tengah layan cuci mata, Tiba-tiba orang ramai luar kedai, rupanya ada Donald Ducks dengan Daisy. Dorang atas session meeting the character yang ngam-ngam depan kedai kami masuk. Jadi dapat laa bergambar kejap dengan Donald Duck ni.... Haaaaaaa!



Tak ada apa sangat nak dibelinya, harga pun mahal. Cukup laa beli benda kecik-kecik macam keychain dengan magnet fridge. Kami terus jalan kaki ke Tokyo Disneyland Station. 

Disneyland ni punya laa besar, gabungan Disneyland, Disneysea, Disney Hotel Resort dengan Disney Gateway (Mall). Maka dorang ada laluan train sendiri iaitu DisneyLine. Korang perlu bayar dan beli tiket atau boleh guna suica card tap-in tap-out untuk naik train ni. 

Jadi gunakan peluang untuk layan train DisneyLine ni. Sebuah train berkonsep dan bertemakan Disney semata-mata. Dari tingkap, tempat duduk, handle sampai ke lantai semuanya dihiasi dengan Disney Theme. Sememangnya satu pelaburan yang besar-besaran betul. Maka tak hairanlah mengapa ramai orang dari seluruh dunia datang nak enjoy di Disneyland Tokyo. Takkan nak claim Aeon Mall sebagai salah satu kemajuan. Ehhh tiber!




Sebelah Disneyland adalah Disneysea. Disneysea ini adalah satu-satunya Disneysea di dalam dunia. Tak ada Disneysea kat tempat lain dah. Satu saja iaitu di Tokyo..... jadi kalau korang ada banyak masa dan banyak wangnya, esok sila datang ke Disneysea layan themepark lagi. Saya cukup sekadar melawati Disneyland Tokyo. Ini pun dah koyak rabak dah... huhuhuhu!

Secara keseluruhannya memang puas hati jalan-jalan dalam Disneyland Tokyo ni. Walau tak kesmeua ride boleh naik disebabkan manusia yang ramai. Tapi kami puas hati dengan suasana dalam Disneyland yang besar giler. 

Anak korang pastu akan ingat memori ni sampai dia besar. The happies place in the world bak kata Walt Disney.

Berikut adalah beberapa tips untuk ke Tokyo Disneyland :

1. Sila pastikan anak anda mencecah 100cm keatas untuk mendapat full ride dan akses pada mana-mana mainan di dalam Disneyland. Kurang daripada tu boleh datang, cuma tak banyak ride melainkan park mesra kanak-kanak kecil.

2. Paling mudah untuk datang ke sini adalah menaiki train Keiko Line. Naik train dan turun di Maihama Station. Jalan kaki saja untuk ke Disneyland entrance. Skang ni Disneyland Tokyo tidak lagi check dos vaksin dan korang tak perlu pakai mask untuk berlibur. Atas kehendak diri sendiri sahaja kalau nak pakai mask. 

3. Buat perbandingan pembelian tiket didalam website Disneyland dan juga mana-mana travel agent seperti Klook untuk mendapatkan diskaun lebih.

4. Makanan dan minuman seperti periuk nasi bertingkat tidak boleh dibawa masuk. Tapi boleh bawa masuk kalau dalam pek kecik dan air boleh dibawa masuk seperti air mineral, air kotak dengan tumbler kopi.

5. Tengok cuaca sebelum beli tiket dalam masa 14hari. Kalau datang musim panas dengan autumn, kebarangkalian hujan adalah sangat tinggi. Harap jangan hujan lebat sepanjang hari. Kalau hujan lebat pun, pihak Disneyland tak akan return tiket korang melainkan dorang tutup entrance sebelum waktu operation hours, baru boleh refund.

6. Bila dah beli tiket, download Disneyland Toyko apps dalam Google Play atau Apps Store. Apps ni sangat berguna untuk tengok waiting time sesuatu ride, reminder untuk korang tengok show, peta rujukan Disneyland pasal dorang dah tak bagi kertas map serta rujukan kat mana tandas dan restoran.

7. Pemakaian juga penting, datang waktu sejuk, sila siap siagakan seolah nak main ice. Masa saya pergi bulan 2 tu sejuk yaa amat pasal tepi laut. Bawa glove dengan full jacket. Musim panas pula pakai santai-santai dan preparekan baju hujan Daiso skali.

8. Setakat ini, tiada restoran halal didalam Disneyland. Yang ada hanya menu halal di Eastside Cafe. Korang boleh beli churos, waffle atau pun fries jika terdesak kelaparan. Akan tetapi, ada sebuah restoran halal iaitu Red Lobster tapi ianya terletak luar Disneyland. Korang kena keluar dan restoran tu terletak di dalam mall Inspiari dan ada juga didalam Hotel Disneyland Ambasador.

9. Bilik air ada dimana-mana sahaja. Tak perlu risau tandas dia memang rasa macam boleh lepak dengan nak tidur. Bersih dan wangi.

10. Surau ada di luar entrance Disneyland dan Disneysea. Follow saja signboard Prayer Room atau Silent Room pada pintu masuk validate ticket. Dalam silent room ni ada tempat wuduk. Lepas wuduk mohon guna tisu untuk keringkan wuduk. Jangan buat kampung macam simbah air masuk tempat solat. Boleh rujuk peta kat sini.

11. Tempat merokok adalah terhad, tapi ada jangan risau. Cuma kena rajin tengok signboard gambar orang hisap rokok. Agak jauh sikit macam terletak kat Adventure Themepark. Rokok tidak dijual didalam Disneyland. Sila beli siap-siap. Saya tak merokok.

12. Skateboard, skooter budak dan basikal tidak dibenarkan bawak masuk atas sebab keselamatan. Untuk sewaan juga tak ada, yang ada hanya stroller sahaja. Kecuali Wheelchair yang dibenarkan masuk. Stroller baby korang boleh bawa masuk tanpa dikenakan charge.

13. Bila cuaca panas, banyakkan anak minum air dan belikan ais krim untuk menyejukkan badan. Musim panas Tokyo bukan biasa-biasa yer. Tak macam panas di Malaysia. Jangan pulak suruh anak minum air kolam. Bahaya tu tuan-tuan.

14. Storage untuk menyimpan beg besar ada di bahagian entrance  room. Eloknya simpan didalam storage dan bawa wang untuk pembelian didalam Disneyland. Menjadi kebiasaan ibubapa letak barang dalam stroller anak, boleh juga cuma berhati-hati kalau tak nak kena cilok. Disneyland adalah kawasan tumpuan pelancong, jadi ramai manusia dari pelbagai negara yang ada dalam tu.  

15. Setiap themepark ada restoran dan tempat duduk. Korang boleh duduk dan makan tapi lepas makan sila kemaskan meja dan buang sampah didalam tong sampah. Jangan buat pasal.

This is awesome gaisss...

Comments

Agoda

Related Post

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular posts from this blog

Tempat Sarapan Pagi Best di Kota Bharu (UPDATE MEI 2022)

Destinasi 24 Jam : Pulau Pangkor, Perak

Tempat Makan Best di Kedah (UPDATE JAN 2022)

Bercuti ke Hatyai Thailand 2022 - Day 1

Itinerary ke Hatyai, 3 Hari 2 Malam